SEJARAH



SEJARAH SEKOLAH

1. Nama sekolah pada asalnya ialah Sekolah Melayu Pernu.

 2. Sekolah ini diasaskan oleh seorang guru agama berasal dari Sumatra dikenali sebagai Haji Ab. Samad pada tahun 1889. Beliau juga seorang peniaga yang berulang alik antara Sumatra dan Melaka. Berkahwin di Kampung Pernu dan menetap di Pernu hingga ke akhir hayat beliau. Bekas tapak rumah beliau ialah di sebelah kiri sempadan kawasan sekolah di tepi jalanraya ke Melaka.

 3. Atas nasihat dan pandangan Haji Ab. Samad dan kerjasama dari penduduk Kampung Pernu, sebuah bangunan sekolah didirikan. Haji Ab. Samad mewakafkan tapak bangunan itu di Batu 7 ½, Kampung Pernu, berhampiran dengan jalanraya sebelah kanan jalan ke Muar. Mengikut cerita, kerja gotong-royong mendapatkan kayu bangunan dibuat/dicari di sekitar hutan yang berhampiran dengan Kampung Pernu dan hutan dalam Kampung Pernu.

4. Bangunan pada tahun 1890 adalah seperti khemah berdindingkan pelepah sekerat dari tanah setinggi 3 kaki, berlantaikan tanah sahaja. Tidak menggunakan paku, cuma dengan pasak kayu dan beratapkan daun nipah. Penghulu/Demang BE (nama penuhnya ialah Abdullah bin Abd. Rahman) menjaga kawasan Kampung Pernu, Telok Mas, Kandang, Ayer Molek, Bukit Lintang dan Bukit Katil, telah mendirikan bangunan Sekolah Melayu Pernu kali kedua di tapak yang sama dengan kerjasama pemerintah Inggeris. Bangunan ini didirikan pada tahun 1909. Berbentuk khemah, berdindingkan kayu, beratap nipah dan berlantaikan papan. Tidak ada perigi dan tandas pada permulaannya. 

5. Pada tahun 1909, Guru Besarnya ialah En. Ahmad bin Md. Yunus, berasal dari Kampung Alai, Melaka. Berkelulusan dari Kolej Melayu Melaka. Guru Penolongnya ialah En. Ab. Wahab bin Ab. Hamid, berasal dari Kampung Telok Mas, Melaka.

 6. Permulaannya murid sekolah ini adalah seramai 50 hingga 60 orang sahaja. Kesemuanya lelaki dan berpakaian kain sarong, baju teluk belanga, berterompah kayu dan bersongkok atau ketayap. Selepas kali kedua sekolah ini didirikan, muridnya masih lagi murid lelaki yang tidak terhad umurnya. Ada kalanya guru sendiri terpaksa pergi ke rumah ibu bapa supaya dapat bekerjasama menghantar anak-anak mereka masuk sekolah.

 PERKEMBANGAN 1926 - 1930

 1. Kerana pertambahan murid, kerajaan pada masa itu, telah membangunkan bangunan baru. Tambahan pula bangunan yang sedia ada telah uzur dan usang.

2. Bangunan baru jauh dari jalanraya, kira-kira 20 - 30 ela jaraknya dari jalanraya.

3. Bentuknya menyerupai huruf I, bertiangkan batu, beratap genting, berlantaikan papan dan bangunan ini tinggi. Ada 5 bilik darjah dan sebuah rumah guru.

4. Guru Besarnya ialah En. Baba bin Omar, berasal dari Lereh. Berkelulusan Maktab Guru Melaka. Guru-gurunya ialah En. Ahmad bin Hj. Abd. Majid dari Serkam berkelulusan SITC Tanjung Malim, En. Md. Said bin Hj. Hassan dari Umbai berkelulusan SITC, En. Husin bin Hj. Said dari Kampung Pernu dan disebut Guru Pereman, En. Md. Nor bin Md. Said dari Kampung Pernu dan disebut Guru Pereman dan en. Md. Yatim juga berasal dari Kampung Pernu.

PERKEMBANGAN 1930 - 1941

Beberapa orang murid menjadi guru, di antaranya :-
- En. Husin bin Hj. Said, di Sekolah Melayu Batu Gajah - 1934.
- En. Md. Nor bin Md. Said, di Sekolah Melayu Pernu.
- En. Md. Sih bin Kulum, di Sekolah Melayu Jus, Jasin - 1930.
- En. Hasan Bin Dolah, di Sekolah Melayu Pernu - 1932.
- En. Husin bin Hashim, di Sekolah Melayu Durian Tunggal.

Bekas murid menjadi Khadi :-
- Tn. Hj. Said bin Hj. Ab. Ghani
- Tn. Hj. Ab. Aziz bin Hj. Said (anak kepada Tn Hj. Said)

Bekas murid menjadi Guru Agama :-
- Tn. Hj. Zain bin Hj. Md. Yasin
- Tn. Hj. Hassan bin Abas

Bekas murid menjadi wakil rakyat :-
- YB Tn. Hj. Ab. Hadi bin Abas
- YB Datuk Hj. Md. Di bin Ab. Ghani

 Ramai juga bekas murid yang menjawat jawatan di jabatan kerajaan dan ikhtisas.

PERISTIWA

 1. Pada tahun 1943 sekolah ini roboh dipukul ribut. Murid-murid meneruskan juga pelajaran di bangunan itu.

 2. Sekolah ini dibuka semula oleh pemerintah Jepun. Guru Besarnya ialah En. Ab. Ghani bin Abu. Murid-murid diajar Bahasa Jepun. Guru ialah seramai 4 orang dalam 4 aliran darjah.

PEMERINTAHAN KERAJAAN B.M.A.

 Kerajaan British memerintah semula pada akhir tahun 1945 hingga 1946 (Kerajaan B.M.A.).Sekolah ini dibuka semula pada pertengahan tahun 1945. Guru Besarnya ialah En. Ab. Ghani binAbu.

PERKEMBANGAN 1946 - 1950

1. Guru Besar ialah En. Baba bin Ab. Samad dengan 5 orang guru dan 5 aliran darjah. Pada tahun 1947, bangunan yang roboh dahulu tidak boleh digunakan. Murid-murid menumpang belajar di Sekolah Agama Pernu (2 kelas) dan 4 kelas lagi menumpang di SekolahMelayu Telok Mas, sebelah pagi. 

2. Pada 19.1.1948, semua murid bersekolah di Sekolah Melayu Telok Mas iaitu belajar disebelah petang.

3. Pada tahun 1949 mula diadakan Darjah 6. Perkembangan pelajaran - 4 orang murid darisekolah ini dapat menjadi Guru Pelatih.

PERKEMBANGAN 1950 - 1957

1. Pada tahun 1949, kerajaan mendirikan sekolah baru dan siap pada tahun 1950.

 2. Pada 18.10.1950 semua murid yang menumpang di Sekolah Melayu Telok Mas, balik belajar di bangunan baru Sekolah Melayu Pernu.

 3. Pada tahun 1953, Pejabat Pelajaran telah menyediakan kelas Darjah Tujuh (darjah bakal Guru Pelatih). 

4. Perkembangan pelajaran pada tahun 1956 - seorang murid dari sekolah ini dapat masuk ke
Sekolah Menengah Berasrama Penuh yang pertama diadakan dan 6 orang dapat menjadi Guru Pelatih.

  5. Pada tahun 1957, pertukaran nama sekolah dari Sekolah Melayu Pernu kepada Sekolah Umum Pernu.

 6. Pada tahun 1957, lima orang murid menjadi guru pelatih.

 7. Sekian serba ringkas sejarah sekolah ini berdasarkan daripada cerita-cerita warga tua Kampung Pernu, guru-guru yang ada di Kampung Pernu ini dan juga dari buku-buku perharian lama yang ada di sekolah ini.

 8. Tokok tambah dan pembetulan terhadap sejarah Sekolah Kebangsaan Pernu ini adalah sangat dialu-alukan oleh AJK Warisan Kita.




 

Blogger news

Kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada blog ini. Terima Kasih

Followers